PENYAKIT MENTAL

Penyakit mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik. Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan penyakit mental adalah antara 5 penyakit utama yang menyebabkan hilang upaya di seluruh dunia dan kemurungan telah menjadi penyakit mental nombor satu di seluruh dunia setelah penyakit Kardiovaskular sejak tahun 2020..

Kesejahteraan mental boleh memberikan kesan terhadap kesihatan fizikal. Penyakit mental yang serius boleh memberikan impak terhadap kehidupan. Individu yang menderita atau mengalami masalah mental biasanya kurang mengambil berat dari perspektif fizikal mereka. Berdasarkan kajian, kesan penyakit mental dalam kehidupan adalah lebih besar daripada risiko-risiko lain seperti merokok, obesiti dan kencing manis.

Ciri individu mengalami kecelaruan mental;

1. Bertentangan dengan Kebiasaan: Individu memberitahu melihat dan mendengar perkara yang tidak wujud iaitu halusinasi dan delusi.

2. Tingkah laku bertentangan dengan nilai masyarakat: setiap masyarakat/budaya memiliki tatacara dan adab yang biasa diikuti.

3. Persepsi dan Interpretasi realiti: individu yang berhadapan dengan tekanan dan kesedihan. Selain itu, mereka cenderung untuk menafikan dan tidak dapat menerima kenyataan.

4. Salah Adaptasi: tingkah laku yang membataskan kefungsian, peranan dan tingkahlaku yang menyebabkan kesedihan dan ketakutan serta takut berada di tempat yang ramai orang seperti pasaraya dan majlis keramaian.

5. Kesusahan Peribadi: masalah emosi seperti mengalami kebimbangan, takut dan kemurungan. Emosi berpanjangan hingga mengganggu individu untuk berfungsi secara normal.

6. Tingkah laku berbahaya: individu yang ingin membunuh diri dan melakukan perkara mengancam nyawa orang lain akibat tekanan emosi.